news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Sekelibat Memahami Konsep Ibadat Sebenar
Memahami Konsep Ibadat Sebenar

Oleh DUSUKI HJ. AHMAD

 

DATO’ DUSUKI HJ. AHMAD

ialah Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB)

 

BEBERAPA waktu dahulu, semasa saya bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia keempat, saya ditanya orang, apakah kejayaan besar Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) sepanjang perkhidmatannya sebagai ketua pentadbir Malaysia, Perdana Menteri dan Presiden UMNO?

 

Pada mulanya saya bercadang untuk menjawab pendek saja, iaitu kejayaan Dr. Mahathir yang paling besar ialah pembaharuan dalam pemikiran umat Islam. Bukan saja perubahan fizikal kepada imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan membangun, tetapi yang paling membanggakan ialah perubahan minda dan sikap rakyat Malaysia, khususnya umat Islam dalam menghadapi masa depan yang penuh dengan tentangan dan cabaran.

 

Orang yang bertanya itu nampaknya kurang faham dengan jawapan yang diberi. Dia menimbulkan keraguan. Dr. Mahathir Muslim, bukan?

 

Hal ini memaksa saya menegaskan secara khusus Dr. Mahathir telah berjaya mengembalikan Melayu kepada ajaran Islam sebenar, iaitu Islam sebagai ad-din, Islam yang syumul dan Islam yang kamil, mencakupi segala-galanya dan maha sempurna.

 

Ramai orang bercakap tentang Islam, tetapi rata-ratanya retorik dan marah-marah saja. Pemakaian kata-kata amat indah semuanya, tetapi kosong belaka. Mereka tidak mahu menerima kenyataan perubahan yang ada.

 

Sebelum ini, orang Melayu semacam berada di dalam satu kepungan kejumudan minda dan kelesuan sikap. Mereka mundur, jahil, miskin dan tidak dapat menghayati tuntutan ajaran Islam sebenar.

 

Amal Islami bagi mereka hanya pada lingkungan penyempurnaan Rukun Islam dan Rukun Iman semata-mata. Bidang-bidang ekonomi, politik, pentadbiran, sosial dan sebagainya tidak dianggap sebagai amal Islami dan tidak dikira ibadah melainkan setelah disemboyankan dengan Islam atau dislogankan dengan istilah-istilah agama.

 

Sebagai catatan sejarah, hari ini Dr. Mahathir telah berjaya memecahkan kepungan itu dan berjaya mempraktikkan Islam sebagai ad-din yang syumul dan kamil. Beliau berjaya menanamkan kefahaman erti dan maksud ad-din sebagaimana yang dikehendaki Islam.

 

Ayat al-Quran pertama ialah iqra', ertinya bacalah. Atas perintah membaca inilah, maka sekarang ini tidak ada kariah yang tidak ada sekolah dan setiap kariah dari ceruk mana sekalipun mempunyai beberapa anak muda mereka yang mendapat peluang menjejak kaki ke pusat-pusat pengajian tinggi.

 

Penunaian fardu ain semata-mata tidak mungkin dapat memenuhi suruhan Allah supaya setiap Muslim dikehendaki menyiapkan kekuatan bagi maksud menakutkan musuh Allah dan musuh umat Islam. Kekuatan itu hanya dapat disempurnakan dengan ilmu. Ilmu yang dimaksudkan ialah segala cabang ilmu yang dapat memberi faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.

 

Menyelidik dan mengambil panduan daripada ajaran Allah yang terkandung di dalam al-Quran bukanlah dengan cara laungan slogan dan jeritan takbir, tetapi bekerja dan berusaha, mencurah tenaga dan memerah minda. Faedahnya ialah bagi kepentingan umat manusia sejagat.

 

Ramai yang masih tidak dapat memahami bahawa Allah mengutuskan manusia di dunia ini adalah dengan tugas sebagai khalifah, iaitu pentadbir. Alam ini dengan segala apa yang ada merupakan jabatan tempat manusia menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

 

Kerja-kerja pentadbiran alam bukanlah bermaksud cuma mengadakan kelas-kelas tajwid dan hafaz al-Quran, atau mengadakan qiamullail, menubuhkan kuliah-kuliah agama di surau-surau, mengadakan ceramah atas nama dakwah atau sebagainya, tetapi lebih penting daripada itu ialah memakmurkan alam ini bagi maksud memastikan kelangsungan hidup umat Islam dengan penuh wibawa dan cemerlang.

 

Oleh kerana jabatan alam ini luas dan khalifahnya ramai, maka bidang tugas untuk memakmurkan alam ini diagih-agihkan di antara satu sama lain menurut keahlian dan kecenderungan. Walaupun berbeza dari segi bidang tugas, tetapi matlamat mereka adalah satu, iaitu menyediakan keselesaan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

 

Maka diperbanyakkan golongan profesional seperti pakar perubatan, pakar sains, ahli undang-undang, jurutera, arkitek, dan sebagainya di samping ulama dan profesor di pusat-pusat pengajian tinggi.

 

Hari ini tidak ada universiti-universiti terkenal di Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah melainkan di sana ada pelajar-pelajar dari Malaysia yang dibiayai oleh kerajaan.

 

Apalah ertinya kekuatan iman dan takwa sekiranya kehidupan harian lemah, lesu, lekeh, letih, bodoh, bebal dan tidak ada maya.

 

Apalah kebanggaan sebagai pemeluk agama suci dan mulia sekiranya tuntutan dan keperluan hidup semuanya bergantung kepada kasihan belas orang lain.

 

Konsep ad-din, syumul dan kamil bukanlah bererti cuma memberi tumpuan kepada ibadah khusus semata-mata, tetapi membawa maksud mentadbir dan menjanakan alam ini sehingga negara maju membangun dan penghuninya dapat hidup aman, makmur dan selesa. Tidak ada kelaparan dan tidak ada peperangan.

 

Kerja-kerja penjanaan seumpama inilah yang dikatakan ibadah dan amal soleh, kerana ia memberi faedah bagi diri, keluarga, masyarakat dan manusia sejagat.

 

Siapa saja yang terlibat dalam kerja-kerja pembangunan itu, mereka akan mendapat pahala daripada Allah secara berterusan sehingga selepas mati selama orang yang masih hidup mendapat faedah hasil daripada pembangunan yang ditinggalkan di dunia.

 

Contohnya, seorang jurutera bersama pasukan pekerja yang membina jalan atau jambatan. Mereka terus-menerus mendapat pahala daripada Allah selama jambatan itu digunakan oleh orang ramai.

 

Hari ini di Malaysia, kita harus berbangga dengan wujudnya golongan profesional mukmin dalam pelbagai bidang. Kita berbangga dengan doktor pakar bedah yang komited dengan tugasnya dan terikat dengan larangan dan suruhan Allah. Ahli korporat yang berjaya dan sedar tanggungjawab sosialnya. Jurutera yang melaksanakan pembinaan bangunan, jalan dan jambatan yang insaf tentang keperluan bangsa dan negara.

 

Mereka ini berjaya menjalankan tugas menurut kerjaya masing-masing tanpa melupakan masjid dan surau. Mereka melaksanakan tugas dengan niat yang baik, secara bersungguh-sungguh dan menurut cara yang betul.

 

Adanya mereka yang masih tidak mahu menerima hakikat ini bukan kerana mereka tidak tahu tentang perubahan yang berlaku, tetapi adalah kerana kepentingan politik kepartian semata-mata. Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang tidak mendapat keselesaan dan kemudahan hasil perubahan yang diciptareka oleh Dr. Mahathir.

 

 DAPATKAN MAJALAH DAKWAH KELUARAN TERBARU DIPASARAN!

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.